Kumpulan kita terbentuk dari empat warga muda Malaysia - Ed, Joey, Hsern Wei dan Peggy. Walaupun asal dan destinasi kita bersilang, perjalanan kita dari Kuala Lumpur ke London unik dan berbeza. Mungkin takdir juga kita bertembung di BBQ sosial pada bulan Ogos 2008.
Mengimbas kembali memori bbq, petang itu seolah sempurna sekali. Si matahari ceria di langit (satu fenomena yang jarang di London!), makanan bes, kumpulan bes - tak habis-habis kita berborak, walaupun sejenak berkenalan!
Topik perbualan kita pula tidak lepas kembali ke topik tanahair. Biarpun mengadu, ada pula yang rindu, walaupun tak henti henti berangan perubahan di Malaysia, sungguhpun sedepa yang tidak puas.... satu yang pasti - iaitu Malaysia tetap bergema di hati sanubari, walaupun jauh kita meninggalkannya...
Sejak itu kita semakin kerap berjumpa, terbentuklah kumpulan ini yang berfokus Malaysia. Biasanya, kita berjumpa di sebuah ‘café’ di pinggir River Thames. Adakala pula kita bersama menghadiri acara awam di London berkaitan Malaysia. Aktiviti-aktiviti ini membentuk peluang kita berinteraksi dengan warganegara Malaysia di London.
Satu tema utama yang tersirat di hati rakyat Malaysia, ialah impian kami untuk negara tercinta. Impian-impian ini dibiar, ditanam, dilupakan, dibelenggui kecewaan dan realiti. Inilah inspirasi kumpulan kita untuk mewujudkan blog ini.
Dengan koleksi impian-impian warga Malaysia, kami berharap koleksi ini akan menjadi bahan api yang akan menghidupkan kembali baraan impian warga Malaysia yang terbiar, tertanam, terlupa dan kecewa.
Semoga impian yang muda menjadi inspirasi impian yang tua. Semoga impian yang tua menjadi inspirasi yang muda. Semoga impian yang beroleh menjadi pembantu impian yang miskin. Semoga impian yang mashyur menjadi pengubah impian yang biasa.
Sebagai pengenalan ahli kumpulan kita kepada pengikut blog, bacalah ulasan mereka kepada 3 soalan menarik dibawah!
Hsern-Wei
Apakah mimpi yang paling aneh yang pernah kamu alami?
Saya jarang menakung memori mimpi-mimpi saya selepas sedar, tetapi mimpi kegemaran saya adalah mimpi terbelakang kedalam ruang yang dalam dan terbuka. Ramai yang komen kegemaran ini memang aneh!
Apakah impian kamu untuk Malaysia?
Impian saya untuk Malaysia ialah supaya perubahan melanda kultur korporat Malaysia. Langkah pertama ialah untuk mengubah minda pekerja terhadap tempat kerja. Langkah seterusnya untuk merealisasikan ruang korporat tempatan dinamik yang akan mengasah dan mencungkil bakat pekerja Malaysia.
Apakah yang kamu paling rindu mengenai Malaysia?
Saya paling rindu berlepak dengan kawan-kawan saya di Malaysia. Saya rasa yang paling syiok ialah masa kita berbual di padang di belakang rumah saya sehingga larut malam. Kita bersama bersantai di atas meja kat padang, menikmati kelipan bintang di langit. Topik perbualan kita bebas dan luas! (adakala yang ‘extreme’!)
Joey
Apakah mimpi yang paling aneh yang pernah kamu alami?
Saya pernah mimpi dikejar anjing liar!
Apakah impian kamu untuk Malaysia?
Impian saya ialah supaya setiap warga Malaysia akan diberi layanan yang adil, terutamanya apabila memohon tempat di universiti tempatan dan peluang perubatan di hospital kerajaan. Saya berharap sistem kuota akan dilupuskan dan semua warganegara Malaysia akan diberi peluang yang saksama.
Apakah yang kamu paling rindu mengenai Malaysia?
Saya paling rindu sarapan nasi lemak yang dibeli mak!
Peggy
Apakah mimpi yang paling aneh yang pernah kamu alami?
Dalam mimpi saya, saya sedang bekerja di depan komputer, sepertimana yang saya biasa setiap hari. Yang aneh ialah dalam mimpi ini, saya sedar saya sedang bermimpi, tetapi tidak berjaya membangunkan diri atau berhenti bekerja. Semakin lama saya terperangkap di dalam mimpi itu, saya semakin geram kerana saya tahu kerja saya bakal lenyap keesokan hari – mustahil boleh CTRL-S dalam mimpi kan?
Apakah impian kamu untuk Malaysia?
Impian saya untuk Malaysia ialah supaya setiap warganegara Malaysia sentiasa berpaling kepada kemajuan diri dan persekitaran serta melindungi nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Impian saya rakyat Malaysia menolak segala kezaliman, kemerosotan dan ketidak-adilan. Rakyat Malaysia perlu bergabung tenaga menjunjung kebaikan dan kemajuaan.
Apakah yang kamu paling rindu mengenai Malaysia?
Saya amat merindui keluarga saya. Saya merindui kasih sayang keluarga dan detik-detik bersama dengan keluarga saya.
Edmund
Apakah mimpi yang paling aneh yang pernah kamu alami?
Yang aneh ialah, saya tidak ada memori mimpi aneh!
Apakah impian kamu untuk Malaysia?
Impian saya adalah supaya rakyat Malaysia akan bersama bangga melaungkan identity mereka sebagai Rakyat Malaysia di arena dunia. Walaupun kita belum berjaya mengeluarkan kereta atau pakaian yang unggul, tetapi visi itu bakal tercapai jika rakyat Malaysia berganding bahu.
Impian saya ialah supaya rakyat Malaysia meninggalkan identiti perkauman – Melayu, Cina dan India – dan mengalih fokus kepada identiti kita sebagai RAKYAT MALAYSIA.
Itulah impian saya, supaya kita bersatu dan tidak berbelah sebagai Rakyat Malaysia.
Apakah yang kamu paling rindu mengenai Malaysia?
Saya rindu kemudahan membeli makanan enak dan panas di sekitar Malaysia!
Saturday, 26 January 2008
Profil Kumpulan
Share this:
|
Digg It |
Add to Technorati |
Save on Del.icio.us |
Stumble It |
Share on Facebook |
Posted by
PegGy
at
08:22
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment